MAKLUMAT BERKAITAN AKAUN DAN AUDIT TERMAKTUB DIDALAM AKTA SYARIKAT 2016
Subpenggal 1
Penyata Kewangan dan Laporan
Tafsiran 243.
Bagi maksud Penggal ini— “piawaian perakaunan diluluskan” hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam seksyen 2 Akta Laporan Kewangan 1997 [Akta 558];
“subsidiari”, kecuali bagi seksyen 246 mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam piawaian perakaunan diluluskan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Laporan Kewangan 1997.
Pematuhan kepada piawaian perakaunan diluluskan 244. (1) Piawaian perakaunan diluluskan hendaklah terpakai bagi penyata kewangan syarikat atau penyata kewangan disatukan syarikat pemegangan jika, pada masa penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu disediakan, piawaian perakaunan diluluskan itu—
(a) terpakai berhubung dengan tahun kewangan syarikat atau syarikat pemegangan yang berhubung dengan penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu; dan
(b) adalah berkaitan dengan penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu.
(2) Tanpa menjejaskan keluasan peruntukan Subpenggal ini, pengarah syarikat hendaklah memastikan bahawa penyata kewangan syarikat dan, jika syarikat itu ialah syarikat pemegangan yang baginya penyata kewangan disatukan dikehendaki, penyata kewangan disatukan syarikat yang dibuat mengikut piawaian perakaunan diluluskan yang terpakai dan hendaklah—
(a) dalam hal suatu syarikat awam, diedarkan kepada anggotanya dan dibentangkan di hadapan syarikat pada mesyuarat agung tahunannya; atau
(b) dalam hal suatu syarikat persendirian, diedarkan kepada anggotanya atau dibentangkan di hadapan syarikat pada mesyuarat anggota.
(3) Walau apa pun subseksyen (2), pengarah syarikat atau syarikat pemegangan tidak dikehendaki untuk memastikan bahawa penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, disediakan mengikut piawaian perakaunan diluluskan jika pengarah berpendapat bahawa menyediakan penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan mengikut piawaian perakaunan diluluskan itu tidak akan memberikan suatu pandangan yang benar dan patut—
(a) mengenai perkara yang dikehendaki di bawah seksyen 249 untuk dinyatakan dalam penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu; atau
(b) mengenai kesan terhadap perniagaan dan keadaan hal ehwal syarikat itu dan, jika berkenaan, mengenai semua syarikat yang hal ehwalnya dinyatakan dalam penyata kewangan disatukan.
(4) Jika penyata kewangan suatu syarikat atau penyata kewangan disatukan suatu syarikat pemegangan tidak disediakan mengikut piawaian perakaunan diluluskan yang tertentu di bawah subseksyen (3), pengarah syarikat itu hendaklah—
(a) menzahirkan melalui suatu catatan pada penyata kewangan sebab tidak menyediakan penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu mengikut piawaian perakaunan diluluskan; dan
(b) memberikan butir-butir dalam catatan tentang kesan kewangan kuantiti pada penyata kewangan atau penyata kewangan disatukan itu jika piawaian perakaunan diluluskan yang berkaitan dipatuhi.
(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Akta ini, jika penyata kewangan itu dikehendaki untuk disediakan bagi atau diserah simpan dengan pihak berkuasa yang disebut dalam seksyen 26D Akta Laporan Kewangan 1997, penyata kewangan itu hendaklah disediakan mengikut piawaian perakaunan diluluskan tertakluk pada apa-apa spesifikasi, garis panduan atau peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu.
(6) Maklumat dalam akaun atau akaun disatukan bagi orang yang melaporkan kepada pihak berkuasa yang disebut dalam seksyen 26D Akta Laporan Kewangan 1997 hendaklah disifatkan telah mematuhi kehendak Penggal ini jika penyata kewangan itu disediakan mengikut undang-undang itu.
(7) Jika timbul apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan piawaian perakaunan diluluskan yang terpakai dengan Akta ini mengenai pemakaiannya masing-masing bagi penyata kewangan syarikat atau penyata kewangan disatukan syarikat pemegangan, peruntukan piawaian perakaunan diluluskan yang terpakai itu hendaklah dipakai.
Akaun hendaklah disimpan 245. (1) Sesuatu syarikat, pengarah dan pengurus suatu syarikat hendaklah— (a) menyebabkan supaya disimpan apa-apa rekod perakaunan dan rekod lain yang akan secukupnya menjelaskan transaksi dan kedudukan kewangan syarikat dan membolehkan akaun untung rugi dan kunci kira-kira yang betul dan tepat dan apa-apa dokumen yang dikehendaki untuk dilampirkan dengannya disediakan; dan
(b) menyebabkan apa-apa rekod perakaunan dan rekod lain disimpan mengikut cara yang membolehkan rekod perakaunan dan rekod lain itu diaudit dengan mudah dan sepatutnya.
(2) Syarikat, pengarah dan pengurus syarikat hendaklah menyebabkan supaya catatan yang sewajarnya dibuat dalam rekod perakaunan dan rekod lain dalam masa enam puluh hari dari selesainya transaksi yang berhubung dengan catatan itu.
(3) Syarikat hendaklah memegang simpan rekod yang disebut dalam subseksyen (1) itu selama tujuh tahun selepas selesainya transaksi atau pengendalian yang berhubung dengan catatan itu.
(4) Rekod yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah disimpan di pejabat berdaftar syarikat atau di mana-mana tempat lain yang difikirkan patut oleh pengarah, dan hendaklah pada setiap masa dibuka bagi pemeriksaan oleh pengarah.
(5) Walau apa pun subseksyen (4), rekod perakaunan dan rekod lain bagi pengendalian di luar Malaysia bolehlah disimpan oleh syarikat itu di suatu tempat di luar Malaysia dengan syarat bahawa rekod perakaunan dan rekod lain itu hendaklah dihantar dan disimpan di suatu tempat di Malaysia dan dijadikan tersedia untuk diperiksa oleh pengarah pada setiap masa.
(6) Rekod perakaunan dan rekod lain yang disebut dalam subseksyen (5) hendaklah termasuk apa-apa pernyataan dan penyata berkenaan dengan urusan yang diperkatakan dalam rekod yang disimpan sedemikian untuk membolehkan penyediaan suatu penyata kewangan yang benar dan patut dan apa-apa dokumen yang dikehendaki untuk dilampirkan dengan penyata kewangan itu.
(7) Jika mana-mana rekod perakaunan dan rekod lain disimpan di suatu tempat di luar Malaysia di bawah subseksyen (4) atau (5), Pendaftar boleh menghendaki syarikat untuk mengemukakan rekod itu di suatu tempat di Malaysia atau menentukan jenis dan cara rekod itu hendaklah disimpan di Malaysia.
(8) Mahkamah boleh, dalam apa-apa hal tertentu, memerintahkan supaya rekod perakaunan dan rekod lain syarikat dibuka untuk pemeriksaan oleh juruaudit syarikat yang diluluskan yang bertindak bagi pihak pengarah, tertakluk pada suatu aku janji bertulis yang diberikan kepada Mahkamah bahawa maklumat yang diperoleh oleh juruaudit semasa pemeriksaannya tidak boleh dizahirkan olehnya kecuali kepada pengarah itu.
(9) Syarikat dan tiap-tiap pegawai syarikat yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
