Kewajipan untuk menzahirkan kepentingan benefisial di dalam syarikat di bawah SEKSYEN 56 AKTA SYARIKAT 2016
Kuasa syarikat untuk menghendaki penzahiran kepentingan benefisial dalam syer mengundinya
(1) Mana-mana syarikat boleh, melalui notis secara bertulis, menghendaki mana-mana anggota syarikat dalam apa-apa masa yang munasabah yang dinyatakan dalam notis—
(a) untuk memaklumkan kepada syarikat sama ada anggota yang memegang apa-apa syer mengundi dalam syarikat sebagai pemunya benefisial atau sebagai pemegang amanah; dan
(b) jika anggota memegang syer mengundi sebagai pemegang amanah, setakat yang mungkin untuk berbuat demikian, untuk menunjukkan orang yang baginya anggota itu memegang syer mengundi melalui nama dan melalui butir-butir lain yang mencukupi untuk membolehkan orang itu dikenal pasti dan jenis kepentingan mereka.
(2) Jika suatu syarikat dimaklumkan bahawa mana-mana orang lain mempunyai kepentingan dalam mana-mana syer mengundi dalam sesuatu syarikat, syarikat itu boleh melalui notis secara bertulis menghendaki orang lain itu dalam apa-apa masa yang munasabah sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu—
(a) untuk memaklumkan kepada syarikat sama ada orang itu memegang kepentingan sebagai pemunya benefisial atau sebagai pemegang amanah; dan
(b) jika orang itu memegang kepentingan sebagai pemegang amanah, setakat yang mungkin untuk berbuat demikian, untuk menunjukkan orang yang dengannya orang itu memegang kepentingan melalui nama dan melalui butir-butir lain yang mencukupi untuk membolehkan orang itu dikenal pasti dan jenis kepentingan mereka.
(3) Mana-mana syarikat boleh, melalui notis secara bertulis, menghendaki mana-mana anggota syarikat untuk memaklumkan kepada syarikat, dalam masa yang munasabah sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu, sama ada apa-apa hak mengundi yang dibawa bersama mana-mana syer mengundi dalam syarikat yang dipegang oleh anggota itu adalah tertakluk kepada suatu perjanjian atau perkiraan yang di bawahnya seorang yang lain berhak untuk mengawal penjalanan hak anggota itu dan, jika sedemikian, untuk memberikan butir-butir perjanjian atau perkiraan dan pihak-pihak kepada perjanjian atau perkiraan itu.
(4) Bilamana suatu syarikat menerima maklumat daripada seseorang mengikut suatu kehendak yang dikenakan ke atas mana-mana orang di bawah seksyen ini berkenaan dengan syer yang dipegang oleh anggota syarikat, syarikat itu hendaklah berada di bawah suatu obligasi untuk mencatatkan bersetentangan dengan nama anggota itu di bahagian yang berasingan dalam daftar yang disimpan olehnya di bawah seksyen 50—
(a) fakta bahawa kehendak itu telah dikenakan dan tarikh yang padanya kehendak itu dikenakan; dan
(b) maklumat yang diterima mengikut kehendak itu.
(5) Seksyen 50 terpakai berhubung dengan sebahagian daripada daftar yang disebut dalam subseksyen (4) sebagaimana yang peruntukan itu terpakai berhubung dengan daftar yang selebihnya dan seolah-olah sebutan mengenai subseksyen 50(1) termasuk sebutan mengenai subseksyen (4).
(6) Pendaftar, bursa saham atau Suruhanjaya Sekuriti boleh, melalui notis secara bertulis, mengarahkan syarikat untuk menggunakan kuasanya di bawah subseksyen (1) dan (2) dan untuk memberikan kepadanya dengan segera maklumat yang diperoleh sedemikian.
(7) Tertakluk kepada subseksyen (8), mana-mana orang yang—
(a) melanggar suatu notis di bawah seksyen ini; atau
(b) berupa mematuhi notis sedemikian membuat apa-apa pernyataan yang dia tahu adalah palsu dalam butir-butir yang material atau dengan melulu membuat apa-apa pernyataan yang palsu dalam butir-butir yang material, melakukan suatu kesalahan.
(8) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar arahan Pendaftar, bursa saham atau Suruhanjaya Sekuriti melakukan suatu kesalahan.
(9) Seseorang tidak melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan (7)(a) jika dia membuktikan bahawa maklumat yang diperkatakan itu telahpun berada dalam pengetahuan syarikat atau bahawa kehendak untuk memberikannya adalah bagi apa-apa sebab lain yang remeh atau menyusahkan.
Apa itu pemilik benefesiari atau beneficial owner (BO)?
Apa yang dimaksudkan dengan istilah Pemunya Benefisial – Beneficial Owner (BO)?
Pemunya benefisial adalah individu atau orang perseorangan yang akhirnya (ultimately) memiliki atau mengawal sesebuah entiti.
Ia adalah orang yang mempunyai kuasa mutlak dan mengawal kepentingan saham sama ada mempunyai nama atau tidak dalam rekod pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pada asasnya, dia adalah individu yang mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang urusan pentadbiran dan juga transaksi dalam kumpulan dan biasanya dia berselindung di sebalik tabir.
Adalah menjadi kewajipan bagi setiap syarikat yang telah didaftarkan untuk menghantar maklumat mengenai Pemilikan Benefisial mereka kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia mulai 1 Januari 2021.
MAKLUMAT PEMUNYA BENEFISIAL UNTUK PENDAFTARAN SYARIKAT BARU
1.Perlu mendapatkan serta menyerahkan maklumat sebenar pemunya benefisial (BO) didalam tempoh 30 hari selepas perlantikan setiausaha syarikat dibuat.
2. Memasukkan maklumat didalam “borang daftar pemunya benefisiari (BO)” dalam tempoh 60 hari selepas maklumat terkini pemunya benefisiari diperolehi.
3. Serahsimpan maklumat pemunya benefisiari ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia dalam tempoh 14 hari daripada tarikh maklumat di masukkan ke dalam “borang daftar pemunya benefisiari”.
MAKLUMAT PEMUNYA BENEFISIAL UNTUK SYARIKAT YANG TELAH BERDAFTAR
1. Serahsimpan maklumat terkini tentang perubahan pemegang saham syarikat ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia dalam tempoh 14 hari.
2. Borang berkaitan pemunya benefisiari perlu dan wajib ditandatangani dan perlu didaftarkan maklumat tersebut didalam penyata tahunan syarikat pada setiap tahun.
Setiausaha syarikat perlu mengemaskini maklumat pemunya benefisial yang diperoleh di dalam daftar pemunya benefisial yang disimpan oleh entiti.
Menjadi satu kesalahan jika tidak menghantar maklumat teNtang pemunya benefisiari pada waktu yang ditetapkan. Penalti akan dikenakan maksimun RM50, 000.
Firma Setiausaha Syarikat – DM Corporate Holding (M) Sdn Bhd
SENARAI MAKLUMAT PEMILIKAN BENEFESIARI YANG DIPERLUKAN
Syarikat dikehendaki mendapatkan maklumat berikut berkaitan dengan pemilik benefisial:
(a) Nama penuh;
(b) Alamat tempat kediaman terkini;
(c) Alamat perniagaan, jika ada;
(d) Alamat e-mel, jika ada;
(e) Kewarganegaraan;
(f) Tarikh lahir;
(g) Bangsa;
(h) Jantina;
(i) No. K/P/Pasport;
(j) Jawatan dalam syarikat, jika berkenaan;
(k) Jenis dan kriteria pemilik benefisial;
(l) Tarikh menjadi pemilik benefisial; dan
(m) Tarikh pemberhentian sebagai pemilik benefisial.
Perkhidmatan Setiausaha Syarikat Malaysia – DM Corporate Holding (M) Sdn Bhd – www.registercompany.com.my