Company Registration Office | Company Secretarial Office In Malaysia | Register Company Services In Malaysia

MAKLUMAT BERKAITAN DAFTAR PENGARAH, PENGURUS DAN SETIAUSAHA SYARIKAT

 

SEKSYEN 57

Daftar Pengarah, Pengurus Dan Setiausaha

57. (1) Tiap-tiap syarikat hendaklah menyimpan di pejabat berdaftarnya suatu daftar mengenai pengarah, pengurus dan setiausahanya yang mengandungi, tetapi tidak terhad kepada, butir-butir yang berikut:

(a) berkenaan dengan pengarah—

(i) nama, alamat kediaman, alamat penyampaian, tarikh lahir, jawatan dan pengenalan perniagaannya; dan

(ii) butir-butir mengenai mana-mana jawatan pengarah lain bagi syarikat awam atau syarikat yang menjadi subsidiari bagi syarikat awam yang dipegang oleh pengarah itu, tetapi tidaklah perlu bagi daftar itu untuk mengandungi butir-butir mengenai jawatan pengarah yang dipegang oleh seseorang pengarah dalam suatu syarikat yang menurut kuasa seksyen
7 disifatkan berkaitan dengan syarikat itu;

(b) berkenaan dengan pengurus dan setiausaha, nama penuh, pengenalan dan alamat kediaman, alamat perniagaan, jika ada, dan pekerjaannya yang lain.

(2) Bagi maksud perenggan (1)(a), jika seseorang menjadi pengarah dalam satu atau lebih subsidiari bagi syarikat pemegangan yang sama, mencukupi jika ia menzahirkan bahawa orang itu ialah pemegang satu atau lebih jawatan pengarah dalam kumpulan syarikat itu dan kumpulan itu boleh diperihalkan dengan nama syarikat pemegangan dengan tambahan perkataan “Kumpulan”.

(3) Daftar hendaklah dibuka bagi pemeriksaan oleh mana-mana anggota syarikat tanpa dikenakan bayaran dan oleh mana-mana orang lain apabila dibayar sejumlah sepuluh ringgit, atau apa-apa jumlah yang lebih rendah sebagaimana yang dikehendaki oleh syarikat, bagi setiap pemeriksaan.

(4) Jika terdapat apa-apa pertukaran butir-butir mengenai pengarah, pengurus atau setiausaha syarikat hendaklah menguatkuasakan pertukaran dalam daftar itu dalam masa empat belas hari dari pertukaran itu.

(5) Suatu perakuan Pendaftar yang menyatakan bahawa daripada apa-apa penyata yang diserah simpan dengan Pendaftar di bawah seksyen ini ternyata bahawa pada bila-bila masa yang dinyatakan dalam perakuan itu mana-mana orang yang merupakan pengarah, pengurus atau setiausaha suatu syarikat yang dinyatakan hendaklah boleh diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding dan hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang fakta yang dinyatakan dalam perakuan itu.

(6) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

(7) Dalam seksyen ini—

“pengenalan” ertinya, dalam hal mana-mana orang yang dikeluarkan kepadanya suatu kad pengenalan, nombor kad pengenalan, dalam hal seseorang yang tidak dikeluarkan kepadanya suatu kad pengenalan, butir-butir pasport atau apa-apa keterangan pengenalan lain yang seumpama sebagaimana yang ada;

“pengarah” termasuk pengarah silih ganti, ganti atau tempatan.

SEKSYEN 58

Kewajipan untuk memberitahu butir-butir dan pertukaran pengarah, pengurus dan setiausaha.

58. (1) Sesuatu syarikat hendaklah memberitahu Pendaftar dalam masa empat belas hari dari tarikh—

(a) selepas pemerbadanannya, butir-butir yang dikehendaki supaya dinyatakan di bawah seksyen 57;

(b) apa-apa pertukaran nama, alamat kediaman dan butir-butir

lain yang ditetapkan mengenai mana-mana pengarah, pengurus atau setiausaha atau alamat penyampaian mana- mana pengarah;

(c) selepas seseorang terhenti menjadi, atau sebagai, pengarah syarikat, butir-butir yang dikehendaki supaya dinyatakan dalam daftar yang dikehendaki di bawah seksyen 57;

(d) selepas seseorang menjadi pengurus atau setiausaha syarikat, menyatakan nama penuh, alamat dan pekerjaan lain, jika ada, orang itu; dan

(e) selepas seseorang terhenti menjadi pengurus atau setiausaha syarikat.

(2) Pendaftar hendaklah menentukan bentuk, cara dan takat maklumat yang hendaklah diserah simpan di bawah subseksyen (1).

(3) Notis seseorang yang menjadi pengarah syarikat hendaklah—

(a) mengandungi suatu pernyataan tentang butir-butir pengarah baharu sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 57(1)(a); dan

(b) disertakan dengan suatu persetujuan untuk bertindak atas sifat itu oleh orang itu.

(4) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

SEKSYEN 59

Daftar pemegangan syer pengarah, dsb.

59. (1) Sesuatu syarikat hendaklah menyimpan suatu daftar yang menunjukkan berkenaan dengan setiap pengarah syarikat butir-butir tentang—

(a) syer dalam syarikat atau dalam perbadanan berkaitan, iaitu syer yang pengarah itu mempunyai kepentingan dan jenis serta takat kepentingan itu;

(b) debentur atau kepentingan kesertaan yang sedia ada oleh syarikat atau perbadanan berkaitan, iaitu debentur atau kepentingan kesertaan yang pengarah itu mempunyai kepentingan dan jenis serta takat kepentingan itu;

(c) hak atau opsyen pengarah atau pengarah dan orang lain berkenaan dengan perolehan atau pelupusan syer dalam, debentur bagi atau kepentingan kesertaan yang sedia ada oleh syarikat itu atau perbadanan berkaitan; dan

(d) kontrak yang dengannya pengarah merupakan suatu pihak atau yang di bawahnya pengarah itu berhak mendapat keuntungan, iaitu kontrak yang menurutnya seseorang mempunyai hak untuk membuat panggilan atau membuat penghantarserahan syer dalam, debentur bagi atau kepentingan kesertaan yang sedia ada oleh syarikat atau perbadanan berkaitan.

(2) Suatu syarikat tidak perlu menzahirkan dalam daftarnya apa-apa butir syer kepentingan pengarah dalam subsidiari milik penuh syarikat yang disifatkan sebagai perbadanan berkaitan di bawah seksyen 7.

(3) Suatu subsidiari milik penuh syarikat hendaklah disifatkan sebagai mematuhi seksyen ini berhubung dengan pengarahnya jika butir-butir yang dikehendaki oleh seksyen ini ditunjukkan dalam daftar syarikat pemegangan.

(4) Syarikat hendaklah mencatatkan dalam daftarnya berhubung dengan pengarah butir-butir yang disebut dalam subseksyen (1) termasuklah bilangan dan perihalan syer, debentur, kepentingan kesertaan, hak, opsyen dan kontrak yang berhubung dengan notis itu dan berkenaan dengan syer, debentur, kepentingan kesertaan, hak atau opsyen yang diperoleh atau kontrak yang dibuat selepas dia menjadi pengarah dalam masa tiga hari selepas menerima notis daripada pengarah di bawah perenggan 219(1)(a)—

(a) harga atau balasan lain bagi transaksi yang dengan sebabnya suatu catatan dikehendaki dibuat di bawah seksyen ini; dan

(b) tarikh—

(i) perjanjian bagi transaksi atau jika yang terkemudian, penyelesaian bagi transaksi itu; atau

(ii) jika tiada transaksi, peristiwa yang berlaku yang dengan sebabnya suatu catatan dikehendaki dibuat di bawah seksyen ini.

(5) Syarikat hendaklah mencatatkan dalam daftarnya butir-butir pertukaran yang disebut dalam notis di bawah perenggan 219(1)(b) dalam masa tiga hari selepas menerima notis daripada pengarah.

(6) Sesuatu syarikat tidak boleh disifatkan mempunyai pengetahuan tentang atau dibebani dengan siasatan mengenai hak seseorang atau berhubung dengan, suatu syer dalam, debentur bagi atau kepentingan kesertaan yang sedia ada oleh syarikat.

(7) Daftar hendaklah dibuka bagi pemeriksaan oleh anggota syarikat tanpa dikenakan bayaran dan oleh mana-mana orang lain apabila dibayar sejumlah dua puluh ringgit atau apa-apa amaun yang lebih kurang sebagaimana yang dikehendaki oleh syarikat.

(8) Mana-mana orang boleh meminta suatu syarikat untuk memberikan kepadanya suatu salinan daftarnya atau mana-mana bahagian daripada daftarnya apabila dibayar sejumlah dua puluh ringgit dan syarikat itu hendaklah menghantar salinan itu kepada orang itu dalam masa dua puluh satu hari atau apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang difikirkan patut oleh Pendaftar dari tarikh permintaan itu diterima oleh syarikat.

(9) Pendaftar boleh, pada bila-bila masa secara bertulis, menghendaki syarikat untuk memberikan kepadanya salinan daftarnya atau mana-mana bahagian daftarnya dan syarikat hendaklah memberikan salinan itu dalam masa tujuh hari dari hari kehendak itu diterima oleh syarikat.

(10) Suatu syarikat awam hendaklah mengemukakan daftarnya kepada semua orang yang menghadiri mesyuarat pada permulaan setiap mesyuarat agung tahunan syarikat dan sentiasa dibuka dan boleh diakses semasa mesyuarat itu.

(11) Dalam seksyen ini—

(a) sebutan mengenai kepentingan kesertaan ialah sebutan mengenai suatu kepentingan mengikut pengertian Akta Skim Kepentingan 2016;

(b) sebutan mengenai seseorang yang memegang atau memperoleh syer, debentur atau kepentingan kesertaan atau suatu kepentingan dalam syer, debentur atau kepentingan kesertaan termasuk sebutan mengenai seseorang yang di bawah suatu opsyen memegang atau memperoleh hak untuk memperoleh atau melupuskan syer, debentur atau kepentingan kesertaan atau suatu kepentingan dalam syer, debentur atau kepentingan kesertaan; dan

(c) sebutan mengenai seseorang pengarah hendaklah termasuk suami atau isteri seseorang pengarah yang bukan merupakan pengarah syarikat itu dan seseorang anak kepada seseorang pengarah, termasuklah anak angkat atau anak tiri yang bukan merupakan pengarah syarikat itu dan kepentingan suami atau isteri a tau anak itu hendaklah dianggap sebagai kepentingan pengarah itu dalam syer atau debentur syarikat selepas fakta yang berkaitan sampai ke pengetahuan pengarah.

(12) Seksyen 8, kecuali subseksyen (1) dan (3), hendaklah berkuat kuasa dalam menentukan sama ada seseorang itu mempunyai kepentingan dalam debentur atau kepentingan kesertaan dan dalam mengguna pakai peruntukan itu, sebutan mengenai sesuatu syer hendaklah dibaca sebagai sebutan mengenai sesuatu debentur atau kepentingan kesertaan.

(13) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya dan, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

top