Company Registration Office | Company Secretarial Office In Malaysia | Register Company Services In Malaysia

PENYEMPURNAAN DOKUMEN BERKAITAN URUSAN SYARIKAT

SEKSYEN 61

Meterai syarikat

61. (1) Sesuatu syarikat boleh mempunyai suatu meterai perbadanan atau tidak.

(2) Sesuatu syarikat yang mempunyai suatu meterai perbadanan hendaklah menjadikan nama dan nombor pendaftarannya tertera dalam huruf rumi yang mudah dibaca pada meterai itu.

(3) Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar subseksyen (2)melakukan suatu kesalahan.

(4) Seseorang pegawai syarikat, atau seseorang yang bertindak bagi pihak syarikat, melakukan suatu kesalahan jika dia menggunakan, atau membenarkan supaya digunakan, suatu meterai yang berupa sebagai meterai syarikat yang padanya nama syarikat itu tidak tertera sebagaimana yang dikehendaki oleh subseksyen (2) dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit.

SEKSYEN 62

Meterai rasmi bagi kegunaan di luar negara

62. (1) Tertakluk kepada syarat atau batasan dalam perlembagaan, sesuatu syarikat yang mempunyai meterai perbadanan boleh mempunyai suatu meterai rasmi untuk kegunaan di luar Malaysia.

(2) Meterai rasmi hendaklah menjadi salinan yang tepat bagi meterai perbadanan syarikat, dengan tambahan pada permukaannya tempat di mana meterai rasmi itu hendak digunakan.

(3) Meterai rasmi itu apabila dicapkan dengan sewajarnya pada sesuatu dokumen mempunyai kesan yang sama sebagaimana meterai perbadanan syarikat.

(4) Sesuatu syarikat yang mempunyai suatu meterai rasmi bagi kegunaan di luar Malaysia boleh secara bertulis di bawah meterai perbadanannya membenarkan mana-mana orang yang dilantik bagi maksud mengecap meterai rasmi pada mana-mana surat ikatan atau dokumen lain yang syarikat itu menjadi suatu pihak.

(5) Orang yang mengecap meterai rasmi itu hendaklah memperakui secara bertulis di atas surat ikatan atau dokumen lain itu yang padanya meterai itu dicapkan dengan tarikh dan tempat di mana surat ikatan atau dokumen lain itu dicapkan.

SEKSYEN 63

Meterai rasmi bagi perakuan syer, dsb.

63. (1) Tertakluk kepada syarat atau batasan dalam perlembagaan, sesuatu syarikat yang mempunyai meterai perbadanan boleh mempunyai suatu meterai rasmi untuk memeterai—

(a) sekuriti yang dikeluarkan oleh syarikat itu; atau

(b) dokumen yang mewujudkan atau menyaksikan sekuriti yang dikeluarkan sedemikian.

(2) Meterai rasmi—

(a) hendaklah menjadi suatu salinan tepat meterai perbadanan syarikat, dengan tambahan pada permukaannya perkataan “Sekuriti”; dan

(b) apabila dicapkan sewajarnya pada dokumen mempunyai kesan yang sama sebagaimana meterai perbadanan syarikat.

SEKSYEN 64

Kontrak syarikat

64. (1) Sesuatu kontrak boleh dibuat—

(a) oleh suatu syarikat, secara bertulis di bawah meterai perbadanannya;

(b) bagi pihak suatu syarikat, oleh seorang yang bertindak di bawah kuasanya, secara nyata atau tersirat; atau

(c) bagi pihak suatu syarikat, secara lisan, oleh mana-mana orang yang bertindak di bawah kuasanya, secara nyata atau tersirat.

(2) Apa-apa formaliti yang dikehendaki oleh undang-undang dalam hal suatu kontrak yang dibuat oleh seseorang individu hendaklah terpakai, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, bagi suatu kontrak yang dibuat oleh atau bagi pihak suatu syarikat.

SEKSYEN 65

Kontrak sebelum pemerbadanan

65. (1) Sesuatu kontrak atau transaksi yang berupa sebagai dibuat oleh atau bagi pihak syarikat pada masa syarikat itu belum dibentuk mempunyai kesan sebagaimana suatu kontrak atau transaksi yang dibuat dengan orang yang berupa sebagai bertindak bagi syarikat itu atau sebagai ejennya, dan dia adalah bertanggungan sendiri dengan sewajarnya ke atas kontrak atau transaksi itu.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), suatu kontrak atau transaksi yang disebut dalam subseksyen itu boleh disahkan oleh syarikat selepas pemerbadanannya dan syarikat itu adalah terikat dengan kontrak atau transaksi itu seolah-olah syarikat itu telah wujud pada tarikh kontrak atau transaksi itu dan telah menjadi suatu pihak kepada kontrak atau transaksi itu.

SEKSYEN 66

Penyempurnaan dokumen

66. (1) Sesuatu dokumen disempurnakan oleh suatu syarikat—

(a) dengan mengecapkan meterai perbadanannya, tertakluk kepada syarat atau batasan dalam perlembagaan; atau

(b) apabila ditandatangani mengikut seksyen ini.

(2) Suatu dokumen disempurnakan dengan sah oleh sesuatu syarikat jika dokumen itu ditandatangani bagi pihak syarikat itu—

(a) oleh sekurang-kurangnya dua orang pegawai diberi kuasa, salah seorang daripadanya hendaklah seorang pengarah; atau

(b) dalam hal seorang pengarah tunggal, oleh pengarah itu dengan kehadiran seorang saksi yang mengaku saksi tandatangan itu.

(3) Suatu dokumen yang ditandatangani mengikut subseksyen (2) hendaklah mempunyai kesan yang sama seolah-olah dokumen itu disempurnakan di bawah meterai perbadanan syarikat.

(4) Suatu dokumen atau prosiding yang menghendaki pengesahan oleh suatu syarikat boleh ditandatangani oleh seorang pegawai diberi kuasa dan tidak perlu dibuat di bawah meterai perbadanan.

(5) Bagi maksud seksyen ini, “pegawai diberi kuasa” ertinya—

(a) pengarah syarikat;

(b) setiausaha syarikat; atau

(c) mana-mana orang lain, yang diluluskan oleh Lembaga.

SEKSYEN 67

Penyempurnaan surat ikatan

67. (1) Sesuatu dokumen disempurnakan dengan sah oleh suatu syarikat sebagai surat ikatan jika—

(a) dokumen itu disempurnakan dengan sewajarnya oleh syarikat itu; dan

(b) dokumen itu dihantar serah sebagai suatu surat ikatan.

(2) Bagi maksud perenggan (1)(b), suatu dokumen dianggap sebagai dihantar serah apabila dokumen itu disempurnakan dengan sah di bawah subseksyen (1), melainkan jika maksud yang bertentangan dibuktikan.

(3) Walau apa pun subseksyen (1), suatu syarikat boleh, melalui surat cara yang disempurnakan sebagai surat ikatan, memberi seseorang kuasa, sama ada secara am atau berkenaan dengan perkara yang dinyatakan, untuk menyempurnakan surat ikatan itu atau dokumen lain bagi pihaknya.

(4) Surat ikatan atau dokumen lain yang disempurnakan oleh orang yang disebut dalam subseksyen (3) hendaklah mempunyai kesan seolah-olah surat ikatan atau dokumen itu disempurnakan oleh syarikat itu.

top